Thursday, July 9, 2020

Lampu


Pada waktu itu kami diberi peluang oleh organisasi untuk mengikuti kelas komputer yang diadakan di sebelah malam kerana waktu siang kami sibuk dengan tugas masing-masing. Kelas ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran kami dalam penggunaan komputer. Selain daripada itu organisasi kami akan memperkenalkan sistem komputer bersepadu di semua jabatan.


Saya bersama rakan saya berangkat ke pusat pembelajaran itu lebih kurang pukul 6.30 petang. Perjalanan mengambil masa lebih setengah jam memandangkan keadaan jalan yang berbatu dan belum berturap pada masa itu. Pembelajaran   dijadualkan bermula pada jam 8 dan berakhir pada 9.30 malam. Sambil menunggu kelas bermula, kami menghabiskan masa di kopitiam yang berhampiran. Sebaik sahaja masa sudah tiba, kami pun memasuki kelas tersebut.

Kelas tamat pada jam 9.30 malam dan bersambung pada hari berikutnya. Kebetulan perut sudah lapar, kami pergi ke pasar malam untuk menjamu selera. Setelah selesai, kamipun berangkat pulang. Jam ketika itu sudah melepasi pukul 10 malam. Teman saya yang memandu pada masa itu. Keadaan di kiri kanan jalan gelap dengan keadaan langit yang berbintang. Perjalanan masuk semula ke ladang begitu sunyi, tiada kenderaan lain yang kelihatan di hadapan mahupun mengikuti kami.


Jalan berbatu menambahkan lagi perjalanan kami terasa perlahan. Memandu di jalan berbatu di waktu siang dan malam cukup berbeza. Di waktu siang kita dapat mempercepatkan pemanduan kita sementara di malam hari kita terpaksa berhati-hati untuk mengelakkan tergelincir ke tepi jalan.


Kami meneruskan perjalanan melimpasi kawasan perkampungan dan melalui jalan yang panjang yang langsung tiada perkampungan di kiri mahupun kanan jalan. Ada beberapa buah bukit perlu dilimpasi. Bukit pertama dinaiki tanpa ada masalah tetapi menuruni bukit tersebut memerlukan kemahiran kerana di tengah-tengahnya terdapat lekukan bekas aliran air yang menjadikannya seperti parit kecil. Pemanduan menjadi mencabar bila malam hari sebab itulah jarang kelihatan kenderaan menggunakan jalan ini di waktu malam.

Setelah menuruni bukit tersebut dengan selamat, ada beberapa buah bukit kecil masih di hadapan yang perlu dilimpasi.


Cabaran seterusnya berada di hadapan kami iaitu sebuah bukit yang agak tinggi dengan batu-batuan yang agak kasar. Menaiki bukit ini agak mencabar disebabkannya laluannya agak panjang sebelum sampai di atas yang agak rata dan mendatar.
Setelah melimpasi dan menuruni bukit tersebut kelihatan sayup-sayup seperti seseorang memegang lampu berada di hadapan kami. Lampu itu kelihatan betul-betul malap. Semakin lama semakin hampir kami ke arah seseorang itu. Lampu Jeep tidak dipasang high light supaya orang di hadapan tidak silau terkena cahaya kereta kami. Semakin hampir semakin jelas keadaan lampu yang digunakan oleh orang itu yang kelihatannya seperti lampu yang hampir kehabisan bateri yang cahayanya malap berwarna oren.
Rakan saya memperlahan kenderaan kami untuk menghormati pejalan kaki itu daripada terkena debu. Saya yang duduk di sebelah kiri pemandu melihat dengan jelas lampu itu yang semakin hampir dengan kami. Bila sudah dekat, tiba-tiba tiada apa-apa di situ. Kelibat orang itu lesap. Tiada tanda-tanda kawasan itu berpenghuni atau perkebunan kerana kawasan berbatu dan tebing yang curam. Saya pun berbisik dengan rakan saya " Kamu nampakkah apa yang saya nampak?". Dengan spontan dia  membalas " Jangan banyak cakap". Dia terus mempercepatkan pemanduannya.


Tidak berberapa lama kemudian kami pun sampai ke destinasi kami. Pada malam seterusnya kami tidak mengalami apa-apa kejadian seperti itu lagi.

Sekian. Jumpa lagi.

No comments:

Post a Comment

Bertemu Malaikat Pelindung?

Melihat kepada topik kali ini, mungkin anda berfikir bahawa ini cumalah rekaan saya semata-mata tetapi percayalah, apa yang saya ceritaka...