Wednesday, July 8, 2020

Sebuah Banglo di atas bukit


Kisah yang akan saya paparkan pada kali ini adalah kisah saya semasa sedang menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi. Kisah ini sudah lama berlalu tetapi menjadi salah satu memori dalam hidup saya semasa bergelar seorang mahasiswa. Saya menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi di utara semenanjung. Setiap kali cuti semester, kami yang memilih jurusan perladangan diwajibkan menjalani latihan praktikal di mana-mana tempat pilihan sendiri. Pada latihan kali ini, saya bersama tiga lagi teman saya memilih untuk menjalani latihan di sebuah organisasi di selatan tanahair. Sebelum ini, saya sememangnya belum pernah menjejak kaki di negeri tersebut dan inilah kali pertama dalam hidup saya sebagai seorang perantau. Ketiga-tiga teman saya sememangnya sudah biasa cuma saya yang masih baru.
Dipendekkan cerita, setelah kami sampai di ibupejabat organisasi tersebut, kami terus melapor diri dan diberi taklimat berhubung aturcara latihan yang akan kami jalani. Kami diberitahu bahawa kami akan diasingkan mengikut individu dan ditempatkan di ladang yang berasingan. Rupanya kami akan dipisahkan. Terasa sedih juga ketika itu tetapi terpaksa diteruskan juga kerana ini adalah tugasan. Keutamaan adalah menyelesaikan tugasan dan kembali ke semula kampus setelah selesai. Pada hari itu juga kami dibawa ke ladang secara berasingan mengikut kawasan masing-masing.


Bermulalah perjalanan saya berseorangan tanpa teman-teman ke ladang di mana saya ditempatkan untuk menjalani latihan ini. Setibanya di pejabat ladang, saya diperkenalkan kepada seorang penolong pengurus. Dia memberi penerangan ringkas berkenaan dengan ladang dan memberi pilihan tempat tinggal untuk saya pilih. Pilihan pertamanya, tinggal dengan salah seorang penyelia ladang yang masih bujang tetapi tempat tinggalnya agak jauh dari pejabat dan berdekatan dengan rumah pekerja ladang. Pilihan kedua adalah sebuah rumah banglo yang sudah agak lama ditinggalkan tiada berpenghuni dan berada tidak jauh dari pejabat. Saya memilih untuk tinggal di rumah banglo tersebut kerana memikirkan mudah untuk saya berjalan kaki ke pejabat pada sebelah petang. Para pekerja mula membersihkan rumah banglo tersebut. Selesai kerja-kerja pembersihan, saya terus dibawa ke rumah tersebut oleh salah seorang kakitangan pejabat.


Agak besar juga rumah tersebut, mempunyai beberapa buah bilik yang lengkap dengan perabut dan tilam tetapi sudah lusuh sesuai dengan keadaannya yang sudah lama ditinggalkan tidak terurus.


Salah seorang pekerja memberitahu saya rumah tersebut sudah bertahun-tahun tidak berpenghuni tetapi tidak menjelaskan dengan lebih lanjut kenapa ianya ditinggalkan begitu saja padahal ianya masih sempurna dan dalam keadaan baik untuk didiami cuma perlu dijaga dan dibersihkan. Timbul tanda tanya juga.


Bermacam-macam benda bermain dalam fikiran saya ketika itu. Banyak benda yang negatif daripada yang positif. Ahh..saya cuba dulu, kalau ada yang tidak kena, saya akan kembali kepada pilihan pertama. Itulah yang saya fikirkan pada masa itu.


Walaupun kerja pembersihan sudah dibuat tapi keadaan masih juga tidak sebersih dalam erti kata sebenar. Keadaan rumah yang sudah lama tidak berpenghuni memerlukan sekurang-kurangnya sehari suntuk untuk membersihkannya. Tapi tidak mengapa, saya cuma tidur saja di situ dan dan banyak masa saya berada di ladang dan di pejabat.

Setelah para pekerja beredar dari situ, saya mula memeriksa seluruh rumah, di dalam dan di luar rumah. Setelah itu saya bersihkan semula ruang tamu yang agak besar dan menyusun semula kedudukan perabut di situ. Ada beberapa buah bilik tidur yang perlu dikemaskan lagi dengan keadaan tilam yang lusuh, berdebu, berbau hapak bahkan berkulat, jadi saya membuat keputusan untuk tidur di atas sofa di ruang tamu sahaja. Mudah, senang dan selesa. Gaya hudup bujang katakan. Pada petang itu saya diberi kelonggaran untuk melakukan kerja sendiri. Tugas sebenar bermula keesokan harinya. Dengan peluang itu, saya gunakan dengan mengemas dan mengatur ruang tamu.


Untuk makan malam, saya sudah sediakan nasi bungkus yang dibeli semasa dalam perjalanan ke ladang. Pada malam itu, saya tidur agak awal kerana keletihan selepas membersihkan rumah. Semua lampu saya pasang hingga ke pagi.

Tidak terasa jam begitu cepat berlalu, kehidupan ladang bermula seawal jam 5.00 pagi. Setelah selesai berkemas, saya mula turun dari rumah. Sebaik sahaja hendak melangkah ke pejabat, kebetulan seorang penjual berada di situ lalu membunyikan hon dan peluang untuk saya membeli bekalan untuk seharian daripadanya. Begitulah seterusnya saya tidak perlu bersusah payah mencari tempat penjaja untuk mendapatkan bekalan makanan.
Tugasan seharian di ladang dilakukan mengikut arahan dan tunjukajar penyelia. Rutin harian di ladang bermula seawal 5.30 pagi sehingga pukul 3 petang dan berada di pejabat sehingga jam 5 petang.

Berbalik pada kisah rumah banglo, pada malam kedua, tiada apa-apa yang aneh berlaku. Cuma saya dinasihatkan oleh penolong pengurus supaya tidak menyalakan semua lampu jika tidak perlu. Cukup sekadar lampu di ruang tamu saja. Sejak  mula sampai ke rumah tersebut, saya tidak pernah menggunakan ruang dapur disebabkan kedudukannya agak ke belakang. Lagipun keadaannya yang kotor dengan debu-debu dan cermin tingkap yang pecah langsung tidak menarik minat untuk masuk ke situ.


Semuanya saya lakukan di ruang tamu. Makan dan tidur di ruang tamu. Apa lagi malam hari kalau lampu ditutup, terasa sunyi-sepi ruang dapur itu. Malam kedua berlalu tanpa ada apa-apa kejadian aneh. Seterusnya malam ketiga, ke-empat dan malam kelima sesuatu yang pelik berlaku.
Pada malam itu, tiba-tiba saya terjaga disebabkan bunyi bising dari arah dapur.


Saya mula memerhati apakah yang menyebabkan bunyi tersebut. Sekejap ada, sekejap hilang. Ketika itu sudah larut malam. Jantung saya mula berdebar-debar. Bulu roma mula mengeremang. Apakah ini ujian sebenar? Saya terus mengamati bunyi itu. Tiba-tiba kelihatan bungkusan plastik seolah-olah melayang keluar masuk dari bilik ke bilik. Bilik-bilik itu bertentangan dan di antaranya adalah laluan ke dapur yang gelap-gelita. Berulang kali bungkusan plastik itu melayang masuk dan keluar bilik dan masuk ke bilik yang satu lagi. Jika ada henpon seperti yang ada sekarang, dapat juga saya merakam kejadian tersebut. Henpon belum lagi wujud pada masa tu. Saya cuma mampu memerhati kejadian itu. Tiba-tiba bungkusan plastik itu terhenti di tengah-tengah lorong. Agak lama juga ia tidak bergerak.


Saya memberanikan diri bangun dan mengambil penyapu lalu menjolok bungkusan plastik itu. Dengan tidak semena-mena, seekor tikus melompat keluar dari dalam plastik tersebut. Rupa-rupanya tikus itu memakan sisa-sisa makanan dalam plastik itu tetapi terperangkap lalu cuba melepaskan diri. Itulah yang menyebabkan seolah-olah seperti bungkusan itu melayang rupa-rupanya tindak-balas tikus itu cuba melepaskan dirinya. Masalah selesai.....
Selepas kejadian tersebut, semua bungkusan sisa makanan, saya gantungkan di dinding agar tidak dapat diganggu makhluk kecil itu lagi. Keesokan harinya, barulah dibuang ke tong sampah di tepi jalan.

Setelah genap empat minggu menjalani latihan praktikal di ladang tersebut, selesailah tugasan saya di ladang tersebut. Kisah rumah banglo di atas bukit memang meninggalkan kenangan manis buat saya di situ.

Hingga berjumpa lagi.

No comments:

Post a Comment

Bertemu Malaikat Pelindung?

Melihat kepada topik kali ini, mungkin anda berfikir bahawa ini cumalah rekaan saya semata-mata tetapi percayalah, apa yang saya ceritaka...