Monday, July 6, 2020

Misteri Wanita Berbaju putih


Salam sejahtera semua. Di sini saya ingin berkongsi kisah benar yang saya sendiri alami beberapa ketika dahulu. Kisah ini belum pernah saya terbitkan di mana-mana media sosial dan kemungkinan saya akan terbitkan dalam bentuk video untuk YouTube saya sedikit masa lagi sementara saya mendapatkan video-video atau gambar yang lebih kurang mempunyai persamaan dengan kejadian tersebut. Maklumlah pada ketika itu, saya belum memiliki henpon yang canggih. Henpon pada ketika itu lebih kepada penggunaan mesej, gambar dan panggilan sahaja. Jika ada aplikasi video pun, kemungkinan untuk merakam video adalah tipis kerana kejadian tersebut berlaku secara spontan.


Beginilah kisahnya, pada ketika itu, sekitar tahun 2010, saya dan seorang teman saya dalam perjalanan pulang ke Sri Aman setelah selesai menghadiri satu sesi ceramah perniagaan yang dianjurkan di sebuah hotel terkemuka di Kuching. Maklumlah minat untuk mencari peluang menambah pendapatan memang berkobar-kobar. Pantang dengar bisnes yang menarik, pasti akan turun ke Kuching.
Perjalanan dari Kuching ke Sri Aman memakan masa yang agak panjang juga, lebih kurang 2 1/2 jam bagi pemanduan biasa, 2 jam bagi yang memandu laju. Setelah melintasi pekan kecil Balai Ringin, jam ketika itu lebih kurang pukul 9.30 malam, keadaan di kiri dan kanan jalan sudah kelihatan sunyi-sepi maklumlah jarak antara kawasan perkampungan semakin jarang.


Yang kelihatan hanyalah hutan. Saya memandu dengan kelajuan sederhana sahaja iaitu dalam 80-90km/j. Ada juga kenderaan lain seperti lori besar memintas mungkin mereka berfikir saya memandu terlalu perlahan. Biarkan mereka, asalkan kita selamat sampai ke destinasi, kata hati saya.


Selepas itu kami melintasi simpang Simunjan dan seterusnya melalui Sabal Kruin iaitu kawasan yang sangat jarang berpenduduk. Tidak berapa lama lagi, kami akan sampai ke pekan Lachau. Saya memperlahankan kereta sebab terasa ada kelainan yang saya rasai pada tayar kereta. Kereta terasa bergetar. Mungkin tayar kekurangan angin.


Saya memberitahu teman saya untuk berhenti memeriksa keadaan tayar kereta. Ketika saya cuba membelok sedikit ke arah yang ada simpang jalan, tiba-tiba cahaya kereta terpancar sesusuk tubuh wanita berambut panjang melebihi paras bahu sedang duduk di 'Bus Stop' di simpang tersebut.

Jelas kelihatan dia duduk sambil menoleh ke belakang. Dia memakai baju Tee putih dan berseluar panjang berwarna biru.


Yang menghairankan, bagaimana seorang wanita duduk berseorangan di dalam gelap gelita sebelum cahaya kereta memancar ke arahnya. Jam ketika itu pukul 10 lebih malam. Saya mengarahkan teman saya memeriksa tayar di sebelah kiri dia iaitu bertentangan dengan wanita yang duduk tadi. Dia berkata tayar dalam keadaan normal. Pada masa yang sama, sempat juga saya menyuruh teman saya menoleh pada wanita tadi dan kelibat wanita tersebut sudah tiada di situ. Apalagi saya bergegas masuk semula ke dalam kereta dan saya memandang muka teman saya yang kelihatan serius dan berpeluh. Kami terus memecut pergi dari situ.


Tidak lama selepas itu, kami sampai di pekan Lachau dan singgah sebentar untuk memastikan tayar betul-betul dalam keadaan elok sebab keadaan di situ terang disinari lampu jalan. Saya menarik nafas lega sebab tiada apa-apa yang tidak dingini berlaku sebentar tadi. Wanita misteri tersebut terus berlegar-legar dalam fikiran saya, mana mungkin dia menunggu bas pada waktu tersebut kerana perkhidmatan bas sudahpun tamat pada waktu itu apalagi dia bersendirian pula dalam keadaan gelap. Lagipun tidak kelihatan beg ataupun apa-apa bakul berdekatan dengannya. Jikalau dia menunggu bas, pasti dia ditemani kaum keluarga atau teman-temannya.

Saya dan teman saya meneruskan perjalanan dan akhirnya sampai ke destinasi hampir pukul 12 tengah malam.

Kisah ini terus menjadi misteri dan kekal dalam ingatan saya sehingga kini.

Banyak lagi kisah seram yang akan saya terbitkan untuk dikongsikan bersama anda sekalian.  Jika anda suka kisah ini, sila komen. Saya akan kongsikan lagi kisah lain di terbitan akan datang.  Jumpa lagi.


No comments:

Post a Comment

Bertemu Malaikat Pelindung?

Melihat kepada topik kali ini, mungkin anda berfikir bahawa ini cumalah rekaan saya semata-mata tetapi percayalah, apa yang saya ceritaka...