Friday, July 10, 2020

Bertemu Malaikat Pelindung?


Melihat kepada topik kali ini, mungkin anda berfikir bahawa ini cumalah rekaan saya semata-mata tetapi percayalah, apa yang saya ceritakan di sini adalah kejadian yang benar-benar terjadi 20 tahun yang lepas. Saya tidak pasti samada itu adalah kewujudan malaikat atau sesuatu yang lain. Sebab itulah topik ini berbentuk persoalan.
Hampir semua orang percaya kewujudan Malaikat Pelindung yang mendampingi setiap manusia namun tanda-tandanya berkomunikasi terus menjadi perdebatan. Bahkan setiap agama percaya pada malaikat pelindung dan masing-masing mempunyai pendapat yang berbeza.


Kami tinggal di perumahan kakitangan di sebuah ladang. Pada waktu itu bekalan api elektrik daripada SESCO belum dibekalkan di kawasan tersebut. Kemudahan api elektrik dibekalkan daripada sebuah penjana elektrik untuk seluruh penempatan kakitangan dan juga pejabat. Waktu penjana beroperasi dijadualkan mengikut masa yang telah ditetapkan untuk mengawal penggunaan bahan api.

Anak saya baru berumur 2 bulan lebih ketika itu. Dialah permata hati pertama kami berdua selepas mendirikan rumahtangga yang baru berusia setahun lebih.

Waktu penjana ditutup pada malam hari adalah sekitar jam 11 malam. Walaupun begitu, kelonggaran diberikan sekiranya terdapat keraian ataupun urusan pejabat yang perlu diselesaikan dengan segera. Pada malam itu, penjana ditutup mengikut jadual.


Keadaan cuaca pada malam itu agak gelap dan cuma sekali-sekala kelihatan bintang berkelipan di sebalik awan. Kedudukan posisi kami berbaring dengan isteri saya di sebelah dinding, anak kami berada di tengah dan saya berada di tepi menghadap tingkap kaca yang berlangsir kain yang nipis. Walaupun hari sudah hampir tengah malam, keadaan di luar tingkap dapat dilihat. Bahagian luar tingkap dipasang dengan Mosquito Netting untuk menghalang serangga masuk. Disebabkan saya belum berasa mengantuk, saya mengalih pandangan ke arah tingkap di sebelah saya. Tiba-tiba saya terlihat sepasang bola cahaya sekecil mentol lampu suluh yang berkelip-kelip yang kelihatannya turun dan naik di luar tingkap. Pada fikiran saya mungkin itu sepasang mata kupu-kupu yang terkena pantulan api pelita dalam bilik kami.


Agak lama juga ia bergerak turun naik di situ. Saya pun tertanya-tanya lalu bangun untuk memerhati dengan lebih dekat lagi.


Pergerakan bebola kecil itu semakin lama semakin cepat dan terus menarik perhatian saya untuk mengamatinya dengan lebih dekat lagi. Makin lama makin cepat pergerakannya.


Saya pula tidak berganjak dari situ malah cuba memerhati dengan lebih dekat lagi. Tiba-tiba bebola itu menjadi sebesar saiz tapak tangan cuma ia bulat dan berwarna oren jingga. Bayangkan sepasang bebola itu melekat di mosquito netting itu dengan tiba-tiba, betul-betul membuat saya terperanjat. Sepantas kilat juga ia hilang. Kejadian itu betul-betul sukar untuk dijelaskan.

Saya kembali berbaring sambil memerhati semula tingkap jikalau benda tersebut muncul semula.


Pada malam berikutnya, saya menanti benda itu muncul semula tetapi ia tidak kelihatan lagi. Saya tidak menceritakan kejadian itu kepada isteri saya  kerana bimbang dia akan takut. Rahsia itu saya simpan sehingga kami berpindah ke tempat lain. Setelah anak saya dewasa barulah saya menceritakan kejadian itu setelah dia bercerita tentang kejadian orang yang pernah melihat benda yang sama seperti apa yang saya alami. Saya tidak pasti adakah itu petanda malaikat pelindung datang untuk berkomunikasi dengan saya atau benda lain yang mengganggu kami. Semuanya masih belum terungkai lagi.

Sumber: www.beliefnet.com
"Has a bright star in the sky ever caught your attention, light shimmering off an object in an unusual way or a bright orb hivering near? These are all signs that angels are around you. Because angels are beings of light, another way they make their presence known is through orbs, unexplained shimmers of light, or flashes of color. If you close your eyes and you still see the light, it's highly probably that an angel is with you. Stop and breathe for a moment and allow their angelic presence to bring you healing and uplift you."

"Adakah bintang  terang di langit pernah menarik perhatian anda, cahaya yang berkilauan dari objek dengan cara yang tidak biasa atau bola terang melayang dekat? Ini semua tanda bahawa malaikat ada di sekeliling anda. Kerana malaikat adalah makhluk cahaya, cara lain untuk membuat kehadiran mereka diketahui adalah melalui bola, kilauan cahaya yang tidak dapat dijelaskan, atau kilauan warna. Sekiranya anda memejam mata dan anda masih melihat cahaya, kemungkinan malaikat ada bersama anda. Berhenti dan tarik nafas sejenak dan biarkan kehadiran mereka untuk membawa  penyembuhan dan mengangkat anda."


Terpulang kepada anda untuk memtafsirkan kejadian tersebut. Bagi saya, kejadian tersebut memberi inspirasi kepada saya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai malaikat pelindung. Adakah ia malaikat pelindung?

Thursday, July 9, 2020

Lampu


Pada waktu itu kami diberi peluang oleh organisasi untuk mengikuti kelas komputer yang diadakan di sebelah malam kerana waktu siang kami sibuk dengan tugas masing-masing. Kelas ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran kami dalam penggunaan komputer. Selain daripada itu organisasi kami akan memperkenalkan sistem komputer bersepadu di semua jabatan.


Saya bersama rakan saya berangkat ke pusat pembelajaran itu lebih kurang pukul 6.30 petang. Perjalanan mengambil masa lebih setengah jam memandangkan keadaan jalan yang berbatu dan belum berturap pada masa itu. Pembelajaran   dijadualkan bermula pada jam 8 dan berakhir pada 9.30 malam. Sambil menunggu kelas bermula, kami menghabiskan masa di kopitiam yang berhampiran. Sebaik sahaja masa sudah tiba, kami pun memasuki kelas tersebut.

Kelas tamat pada jam 9.30 malam dan bersambung pada hari berikutnya. Kebetulan perut sudah lapar, kami pergi ke pasar malam untuk menjamu selera. Setelah selesai, kamipun berangkat pulang. Jam ketika itu sudah melepasi pukul 10 malam. Teman saya yang memandu pada masa itu. Keadaan di kiri kanan jalan gelap dengan keadaan langit yang berbintang. Perjalanan masuk semula ke ladang begitu sunyi, tiada kenderaan lain yang kelihatan di hadapan mahupun mengikuti kami.


Jalan berbatu menambahkan lagi perjalanan kami terasa perlahan. Memandu di jalan berbatu di waktu siang dan malam cukup berbeza. Di waktu siang kita dapat mempercepatkan pemanduan kita sementara di malam hari kita terpaksa berhati-hati untuk mengelakkan tergelincir ke tepi jalan.


Kami meneruskan perjalanan melimpasi kawasan perkampungan dan melalui jalan yang panjang yang langsung tiada perkampungan di kiri mahupun kanan jalan. Ada beberapa buah bukit perlu dilimpasi. Bukit pertama dinaiki tanpa ada masalah tetapi menuruni bukit tersebut memerlukan kemahiran kerana di tengah-tengahnya terdapat lekukan bekas aliran air yang menjadikannya seperti parit kecil. Pemanduan menjadi mencabar bila malam hari sebab itulah jarang kelihatan kenderaan menggunakan jalan ini di waktu malam.

Setelah menuruni bukit tersebut dengan selamat, ada beberapa buah bukit kecil masih di hadapan yang perlu dilimpasi.


Cabaran seterusnya berada di hadapan kami iaitu sebuah bukit yang agak tinggi dengan batu-batuan yang agak kasar. Menaiki bukit ini agak mencabar disebabkannya laluannya agak panjang sebelum sampai di atas yang agak rata dan mendatar.
Setelah melimpasi dan menuruni bukit tersebut kelihatan sayup-sayup seperti seseorang memegang lampu berada di hadapan kami. Lampu itu kelihatan betul-betul malap. Semakin lama semakin hampir kami ke arah seseorang itu. Lampu Jeep tidak dipasang high light supaya orang di hadapan tidak silau terkena cahaya kereta kami. Semakin hampir semakin jelas keadaan lampu yang digunakan oleh orang itu yang kelihatannya seperti lampu yang hampir kehabisan bateri yang cahayanya malap berwarna oren.
Rakan saya memperlahan kenderaan kami untuk menghormati pejalan kaki itu daripada terkena debu. Saya yang duduk di sebelah kiri pemandu melihat dengan jelas lampu itu yang semakin hampir dengan kami. Bila sudah dekat, tiba-tiba tiada apa-apa di situ. Kelibat orang itu lesap. Tiada tanda-tanda kawasan itu berpenghuni atau perkebunan kerana kawasan berbatu dan tebing yang curam. Saya pun berbisik dengan rakan saya " Kamu nampakkah apa yang saya nampak?". Dengan spontan dia  membalas " Jangan banyak cakap". Dia terus mempercepatkan pemanduannya.


Tidak berberapa lama kemudian kami pun sampai ke destinasi kami. Pada malam seterusnya kami tidak mengalami apa-apa kejadian seperti itu lagi.

Sekian. Jumpa lagi.

Wednesday, July 8, 2020

Sebuah Banglo di atas bukit


Kisah yang akan saya paparkan pada kali ini adalah kisah saya semasa sedang menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi. Kisah ini sudah lama berlalu tetapi menjadi salah satu memori dalam hidup saya semasa bergelar seorang mahasiswa. Saya menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi di utara semenanjung. Setiap kali cuti semester, kami yang memilih jurusan perladangan diwajibkan menjalani latihan praktikal di mana-mana tempat pilihan sendiri. Pada latihan kali ini, saya bersama tiga lagi teman saya memilih untuk menjalani latihan di sebuah organisasi di selatan tanahair. Sebelum ini, saya sememangnya belum pernah menjejak kaki di negeri tersebut dan inilah kali pertama dalam hidup saya sebagai seorang perantau. Ketiga-tiga teman saya sememangnya sudah biasa cuma saya yang masih baru.
Dipendekkan cerita, setelah kami sampai di ibupejabat organisasi tersebut, kami terus melapor diri dan diberi taklimat berhubung aturcara latihan yang akan kami jalani. Kami diberitahu bahawa kami akan diasingkan mengikut individu dan ditempatkan di ladang yang berasingan. Rupanya kami akan dipisahkan. Terasa sedih juga ketika itu tetapi terpaksa diteruskan juga kerana ini adalah tugasan. Keutamaan adalah menyelesaikan tugasan dan kembali ke semula kampus setelah selesai. Pada hari itu juga kami dibawa ke ladang secara berasingan mengikut kawasan masing-masing.


Bermulalah perjalanan saya berseorangan tanpa teman-teman ke ladang di mana saya ditempatkan untuk menjalani latihan ini. Setibanya di pejabat ladang, saya diperkenalkan kepada seorang penolong pengurus. Dia memberi penerangan ringkas berkenaan dengan ladang dan memberi pilihan tempat tinggal untuk saya pilih. Pilihan pertamanya, tinggal dengan salah seorang penyelia ladang yang masih bujang tetapi tempat tinggalnya agak jauh dari pejabat dan berdekatan dengan rumah pekerja ladang. Pilihan kedua adalah sebuah rumah banglo yang sudah agak lama ditinggalkan tiada berpenghuni dan berada tidak jauh dari pejabat. Saya memilih untuk tinggal di rumah banglo tersebut kerana memikirkan mudah untuk saya berjalan kaki ke pejabat pada sebelah petang. Para pekerja mula membersihkan rumah banglo tersebut. Selesai kerja-kerja pembersihan, saya terus dibawa ke rumah tersebut oleh salah seorang kakitangan pejabat.


Agak besar juga rumah tersebut, mempunyai beberapa buah bilik yang lengkap dengan perabut dan tilam tetapi sudah lusuh sesuai dengan keadaannya yang sudah lama ditinggalkan tidak terurus.


Salah seorang pekerja memberitahu saya rumah tersebut sudah bertahun-tahun tidak berpenghuni tetapi tidak menjelaskan dengan lebih lanjut kenapa ianya ditinggalkan begitu saja padahal ianya masih sempurna dan dalam keadaan baik untuk didiami cuma perlu dijaga dan dibersihkan. Timbul tanda tanya juga.


Bermacam-macam benda bermain dalam fikiran saya ketika itu. Banyak benda yang negatif daripada yang positif. Ahh..saya cuba dulu, kalau ada yang tidak kena, saya akan kembali kepada pilihan pertama. Itulah yang saya fikirkan pada masa itu.


Walaupun kerja pembersihan sudah dibuat tapi keadaan masih juga tidak sebersih dalam erti kata sebenar. Keadaan rumah yang sudah lama tidak berpenghuni memerlukan sekurang-kurangnya sehari suntuk untuk membersihkannya. Tapi tidak mengapa, saya cuma tidur saja di situ dan dan banyak masa saya berada di ladang dan di pejabat.

Setelah para pekerja beredar dari situ, saya mula memeriksa seluruh rumah, di dalam dan di luar rumah. Setelah itu saya bersihkan semula ruang tamu yang agak besar dan menyusun semula kedudukan perabut di situ. Ada beberapa buah bilik tidur yang perlu dikemaskan lagi dengan keadaan tilam yang lusuh, berdebu, berbau hapak bahkan berkulat, jadi saya membuat keputusan untuk tidur di atas sofa di ruang tamu sahaja. Mudah, senang dan selesa. Gaya hudup bujang katakan. Pada petang itu saya diberi kelonggaran untuk melakukan kerja sendiri. Tugas sebenar bermula keesokan harinya. Dengan peluang itu, saya gunakan dengan mengemas dan mengatur ruang tamu.


Untuk makan malam, saya sudah sediakan nasi bungkus yang dibeli semasa dalam perjalanan ke ladang. Pada malam itu, saya tidur agak awal kerana keletihan selepas membersihkan rumah. Semua lampu saya pasang hingga ke pagi.

Tidak terasa jam begitu cepat berlalu, kehidupan ladang bermula seawal jam 5.00 pagi. Setelah selesai berkemas, saya mula turun dari rumah. Sebaik sahaja hendak melangkah ke pejabat, kebetulan seorang penjual berada di situ lalu membunyikan hon dan peluang untuk saya membeli bekalan untuk seharian daripadanya. Begitulah seterusnya saya tidak perlu bersusah payah mencari tempat penjaja untuk mendapatkan bekalan makanan.
Tugasan seharian di ladang dilakukan mengikut arahan dan tunjukajar penyelia. Rutin harian di ladang bermula seawal 5.30 pagi sehingga pukul 3 petang dan berada di pejabat sehingga jam 5 petang.

Berbalik pada kisah rumah banglo, pada malam kedua, tiada apa-apa yang aneh berlaku. Cuma saya dinasihatkan oleh penolong pengurus supaya tidak menyalakan semua lampu jika tidak perlu. Cukup sekadar lampu di ruang tamu saja. Sejak  mula sampai ke rumah tersebut, saya tidak pernah menggunakan ruang dapur disebabkan kedudukannya agak ke belakang. Lagipun keadaannya yang kotor dengan debu-debu dan cermin tingkap yang pecah langsung tidak menarik minat untuk masuk ke situ.


Semuanya saya lakukan di ruang tamu. Makan dan tidur di ruang tamu. Apa lagi malam hari kalau lampu ditutup, terasa sunyi-sepi ruang dapur itu. Malam kedua berlalu tanpa ada apa-apa kejadian aneh. Seterusnya malam ketiga, ke-empat dan malam kelima sesuatu yang pelik berlaku.
Pada malam itu, tiba-tiba saya terjaga disebabkan bunyi bising dari arah dapur.


Saya mula memerhati apakah yang menyebabkan bunyi tersebut. Sekejap ada, sekejap hilang. Ketika itu sudah larut malam. Jantung saya mula berdebar-debar. Bulu roma mula mengeremang. Apakah ini ujian sebenar? Saya terus mengamati bunyi itu. Tiba-tiba kelihatan bungkusan plastik seolah-olah melayang keluar masuk dari bilik ke bilik. Bilik-bilik itu bertentangan dan di antaranya adalah laluan ke dapur yang gelap-gelita. Berulang kali bungkusan plastik itu melayang masuk dan keluar bilik dan masuk ke bilik yang satu lagi. Jika ada henpon seperti yang ada sekarang, dapat juga saya merakam kejadian tersebut. Henpon belum lagi wujud pada masa tu. Saya cuma mampu memerhati kejadian itu. Tiba-tiba bungkusan plastik itu terhenti di tengah-tengah lorong. Agak lama juga ia tidak bergerak.


Saya memberanikan diri bangun dan mengambil penyapu lalu menjolok bungkusan plastik itu. Dengan tidak semena-mena, seekor tikus melompat keluar dari dalam plastik tersebut. Rupa-rupanya tikus itu memakan sisa-sisa makanan dalam plastik itu tetapi terperangkap lalu cuba melepaskan diri. Itulah yang menyebabkan seolah-olah seperti bungkusan itu melayang rupa-rupanya tindak-balas tikus itu cuba melepaskan dirinya. Masalah selesai.....
Selepas kejadian tersebut, semua bungkusan sisa makanan, saya gantungkan di dinding agar tidak dapat diganggu makhluk kecil itu lagi. Keesokan harinya, barulah dibuang ke tong sampah di tepi jalan.

Setelah genap empat minggu menjalani latihan praktikal di ladang tersebut, selesailah tugasan saya di ladang tersebut. Kisah rumah banglo di atas bukit memang meninggalkan kenangan manis buat saya di situ.

Hingga berjumpa lagi.

Monday, July 6, 2020

Misteri Wanita Berbaju putih


Salam sejahtera semua. Di sini saya ingin berkongsi kisah benar yang saya sendiri alami beberapa ketika dahulu. Kisah ini belum pernah saya terbitkan di mana-mana media sosial dan kemungkinan saya akan terbitkan dalam bentuk video untuk YouTube saya sedikit masa lagi sementara saya mendapatkan video-video atau gambar yang lebih kurang mempunyai persamaan dengan kejadian tersebut. Maklumlah pada ketika itu, saya belum memiliki henpon yang canggih. Henpon pada ketika itu lebih kepada penggunaan mesej, gambar dan panggilan sahaja. Jika ada aplikasi video pun, kemungkinan untuk merakam video adalah tipis kerana kejadian tersebut berlaku secara spontan.


Beginilah kisahnya, pada ketika itu, sekitar tahun 2010, saya dan seorang teman saya dalam perjalanan pulang ke Sri Aman setelah selesai menghadiri satu sesi ceramah perniagaan yang dianjurkan di sebuah hotel terkemuka di Kuching. Maklumlah minat untuk mencari peluang menambah pendapatan memang berkobar-kobar. Pantang dengar bisnes yang menarik, pasti akan turun ke Kuching.
Perjalanan dari Kuching ke Sri Aman memakan masa yang agak panjang juga, lebih kurang 2 1/2 jam bagi pemanduan biasa, 2 jam bagi yang memandu laju. Setelah melintasi pekan kecil Balai Ringin, jam ketika itu lebih kurang pukul 9.30 malam, keadaan di kiri dan kanan jalan sudah kelihatan sunyi-sepi maklumlah jarak antara kawasan perkampungan semakin jarang.


Yang kelihatan hanyalah hutan. Saya memandu dengan kelajuan sederhana sahaja iaitu dalam 80-90km/j. Ada juga kenderaan lain seperti lori besar memintas mungkin mereka berfikir saya memandu terlalu perlahan. Biarkan mereka, asalkan kita selamat sampai ke destinasi, kata hati saya.


Selepas itu kami melintasi simpang Simunjan dan seterusnya melalui Sabal Kruin iaitu kawasan yang sangat jarang berpenduduk. Tidak berapa lama lagi, kami akan sampai ke pekan Lachau. Saya memperlahankan kereta sebab terasa ada kelainan yang saya rasai pada tayar kereta. Kereta terasa bergetar. Mungkin tayar kekurangan angin.


Saya memberitahu teman saya untuk berhenti memeriksa keadaan tayar kereta. Ketika saya cuba membelok sedikit ke arah yang ada simpang jalan, tiba-tiba cahaya kereta terpancar sesusuk tubuh wanita berambut panjang melebihi paras bahu sedang duduk di 'Bus Stop' di simpang tersebut.

Jelas kelihatan dia duduk sambil menoleh ke belakang. Dia memakai baju Tee putih dan berseluar panjang berwarna biru.


Yang menghairankan, bagaimana seorang wanita duduk berseorangan di dalam gelap gelita sebelum cahaya kereta memancar ke arahnya. Jam ketika itu pukul 10 lebih malam. Saya mengarahkan teman saya memeriksa tayar di sebelah kiri dia iaitu bertentangan dengan wanita yang duduk tadi. Dia berkata tayar dalam keadaan normal. Pada masa yang sama, sempat juga saya menyuruh teman saya menoleh pada wanita tadi dan kelibat wanita tersebut sudah tiada di situ. Apalagi saya bergegas masuk semula ke dalam kereta dan saya memandang muka teman saya yang kelihatan serius dan berpeluh. Kami terus memecut pergi dari situ.


Tidak lama selepas itu, kami sampai di pekan Lachau dan singgah sebentar untuk memastikan tayar betul-betul dalam keadaan elok sebab keadaan di situ terang disinari lampu jalan. Saya menarik nafas lega sebab tiada apa-apa yang tidak dingini berlaku sebentar tadi. Wanita misteri tersebut terus berlegar-legar dalam fikiran saya, mana mungkin dia menunggu bas pada waktu tersebut kerana perkhidmatan bas sudahpun tamat pada waktu itu apalagi dia bersendirian pula dalam keadaan gelap. Lagipun tidak kelihatan beg ataupun apa-apa bakul berdekatan dengannya. Jikalau dia menunggu bas, pasti dia ditemani kaum keluarga atau teman-temannya.

Saya dan teman saya meneruskan perjalanan dan akhirnya sampai ke destinasi hampir pukul 12 tengah malam.

Kisah ini terus menjadi misteri dan kekal dalam ingatan saya sehingga kini.

Banyak lagi kisah seram yang akan saya terbitkan untuk dikongsikan bersama anda sekalian.  Jika anda suka kisah ini, sila komen. Saya akan kongsikan lagi kisah lain di terbitan akan datang.  Jumpa lagi.


Bertemu Malaikat Pelindung?

Melihat kepada topik kali ini, mungkin anda berfikir bahawa ini cumalah rekaan saya semata-mata tetapi percayalah, apa yang saya ceritaka...